PENGENALAN
- Perniagaan dalam negeri menjadi nadi penggerak kepada urusan pertukaran barang daripada pengeluar kepada pengguna akhir.Setiap individu terlibat dengan perniagaan dalam negeri.Sebahagian besar daripada kegiatan perniagaan ini dapat menyediakan banyak peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat tempatan.Secara umumnya, kegiatan ini meliputi perkara yang berkaitan dengan saluran agihan, perniagaan runcit, perniagaan borong dan kaedah jualan yang diamalkan.
3.1. DEFINISI PERNIAGAAN DALAM NEGERI
- Perniagaan dalam negeri bermaksud aktiviti jual beli barang dan perkhidmatan yang bermatlamatkan keuntungan.Aktiviti ini dijalankan di dalam sesebuah negara, maka ia dinamakan perniagaan dalam negeri.
- Cabang utama perniagaan dalam negeri adalah perniagaan runcit dan perniagaan borong.
3.2. JENIS-JENIS SALURAN AGIHAN
- Saluran agihan merupakan proses pengedaran barang daripada pengeluar kepada pengguna akhir. Aktiviti pengedaran ini dapat dibantu oleh pemborong dan peruncit.Pengeluaran dapat menyalurkan barangan melalui beberapa cara, iaitu:
- Pengeluar-Pemborong-Peruncit-Pengguna
- Pengeluar-Ejen-Peruncit-Pengguna
- Pengeluar-Pemborong-Pengguna
- Pengeluar-Peruncit-Pengguna
- Pengeluar-Ejen-Pengguna
- Pengeluar-Pengguna
3.3. FUNGSI PERUNCIT DALAM SALURAN AGIHAN
- Pengguna memerlukan peruncit bagi menyelesaikan masalah mendapatkan bekalan. Tanpa peruncit, pengguna terpaksa pergi ke tempat pengeluar. pengguna perlu mengeluarkan banyak wang dan masa untuk pergi mendapatkan barang yang diperlukan jika pengeluar berada di tempat yang jauh. Oleh itu, peruncit mempunyai beberapa fungsi yang penting dalam saluran agihan.
- Antara fungsi peruncit adalah:
a) Menyediakan pelbagai barang
Ini membolehkan supaya pengguna mendapat bekalan untuk memenuhi keperluan dan kehendaknya. Bekalan barang boleh diperoleh daripada
pemborong ataupun pembekal.
b) Menjual dalam kuantiti yang diperlukan
Barang yang dibeli secara pukal sama ada daripada pemborong atau pengeluar akan dibungkus dalam unit yang kecil sebelum dijual dan diagihkan kepada pengguna akhir.
c) Memastikan bekalan mencukupi
Peruncit perlu memastikan bekalan mencukupi agar pengguna tidak terputus bekalan. Stok barang yang sentiasa mencukupi menggalakkan pelanggan membeli barang dengan banyak. Barang yang tidak tahan lama seperti sayur dan ikan perlu dibekalkan setiap hari.
d) Memperaga barang
Membolehkan pelanggan membuat pilihan dengan mudah. Susun atur barang yang kemas dan menarik menjadi tarikan pelanggan datang membeli. Setiap barang yang diperagakan perlu dilabel dan diletakkan tanda harga.
e) Sumber maklumat kepada pelanggan
Peruncit menyampaikan maklumat dan menasihati pelanggan tentang barang tertentu. Pelanggan diberitahu cara penggunaan, khasiat dan kebaikan lain terhadap sesuatu barang baru.
f) Menyimpan rekod perniagaan
Maklumat yang perlu disimpan adalah berkaitan pembekal, penghutang, stok barang, jualan dan maklumat kewangan perniagaan. Ini memudahkan peruncit menyediakan penyata pendapatan bagi tujuan percukaian.
3.4. JENIS PERNIAGAAN RUNCIT
- Perniagaan runcit dikategorikan kepada perniagaan runcit kecil-kecilan, perniagaan runcit besar-besaran dan bentuk lain peruncitan. Kategori ini dibuat berasaskan saiz modal, keadaan kedai, jenis milikan, kaedah jualan, bentuk layanan, bilangan pekerja, sumber bekalan, kuantiti belian dan kemudahan yang disediakan kepada pelanggan.
3.4.1 Peruncit Kecil-Kecilan
Terdiri daripada peruncit yang berkedai dan tidak berkedai. Perniagaan ini dapat dikenal pasti melalui jumlah barang yang sedikit, premis perniagaan yang kecil dan bilangan pekerja yang sedikit.
a) Peruncit Tanpa Kedai
1. Penjaja
Merupakan peniaga tanpa gerai. Peniaga ini boleh menjaja secara berjalan kaki atau berkenderaan ke merata-rata tempat. Penjaja seperti ini bermodal kecil dan ia berniaga sendiri atau dibantu oleh ahli keluarganya. Kuantiti barang yang dijual juga terhad setakat cukup untuk jualan sepanjang hari ia berjaja.
2. Pegerai
Merupakan peniaga yang mendirikan tempat berniaga yang ringkas dan kecil. Gerai yang didirikan adalah bersifat sementara. Gerai biasanya ditempatkan di kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai.Gerai dikendalikan sendiri oleh peniaga dan dibantu oleh ahli keluarga atau mengupah pembantu. Perniagaan ini dimiliki secara milikan tunggal.
b) Peruncit Berkedai
1. Kedai Am
Menawarkan beraneka jenis barang keperluan harian pengguna di premis tetap. Jenis barang yang dijual bergantung kepada permintaan pengguna di sekitarnya. Ia didirikan berhampiran dengan kediaman pengguna yang mana bertujuan memudahkan pengguna datang membeli. Ia dimiliki secara milikan tunggal dan ada juga yang berkongsi. Memerlukan modal yang kecil dan belanja pengendalian juga tidak besar. Bekalan diperoleh daripada pemborong atau pembekal yang tetap.
2. Kedai Khusus
Pemilik kedai ini menjual satu jenis barang dan beberapa jenis barang lain yang berkaitan dengannya. Kedai ini perlu dihias dengan cantik dan peragaan barang juga mestilah menarik supaya lebih ramai pelanggan mengunjunginya. Peniaga dibantu oleh ahli keluarga dan beberapa orang pekerja mengikut kemampuannya. Saiz perniagaan tidak besar kerana modalnya terhad.
3.4.2. Peruncit Besar-Besaran
Perniagaan runcit besar-besaran memerlukan modal besar. Perniagaan ini dijalankan di bangunan yang dibina khas dan lengkap dengan pelbagai kemudahan.Lokasi perniagaan ini sesuai di bandar atau kawasan perumahan yang berpenduduk padat.
1. Pasar Raya
Merupakan kedai yang besar dengan menjual pelbagai jenis barang keperluan harian. Pelanggan boleh memilih beraneka jenis barang keperluan harian. Harga jualan adalah tetap dan perlu dibayar tunai atau menggunakan kad kredit.
2. Kedai Sejaras
Merupakan suatu bentuk kedai rangkaian yang mempunyai lebih 10 cawangan serta menggunakan tanda perniagaan dan bentuk hiasan kedai yang sama. Rangkaian kedai meliputi suatu negeri, negara ataupun kawasan geografi tertentu.
3. Koperasi Runcit
Koperasi merupakan suatu organisasi yang ditubuhkan oleh anggota yang mengendalikan kegiatan ekonomi dengan bekerjasama, bergotong-royong demi kebajikan dan keperntingan bersama. Setiap anggota perlu menyumbang modal dengan membeli saham koperasi yang disertainya. Kebanyakan koperasi menubuhkan perniagaan runcit bagi memudahkan anggota koperasi membeli barangan pada harga yang berpatutan.
3.4.3 Bentuk Lain Peruncitan
Bentuk lain peruncitan ialah francais, jualan langsung, kedai katalog dan sebagainya.
1. Francais
Francais merupakan perjanjian atau persetujuan di antara pengeluar,pemborong atau syarikat induk dengan peniaga. Pihak yang menggunakan tanda perniagaan ini dikenali sebagai francaisi.Penerima francais juga perlu menyediakan bayaran untuk penubuhan bayaran sewa peralatan yang disediakan dan juga bayaran aktiviti promosi berpusat.
2. Jualan Langsung
Merupakan penjualan barangan secara terus kepada pengguna akhir.
Pengeluar boleh melakukan jualan langsung secara jualan pintu ke pintu, pesanan mel atau membuka kedai runcit sendiri.
3. Kedai Katalog
Merupakan perniagaan yang mempromosikan barang atau perkhidmatannya melalui media pengiklanan secara bercetak atau bahan elektronik atau kedua-duanya sekali. Kedai ini mempromosikan barang jualannya melalui pengedaran katalog secara percuma di empat tumpuan ramai atau melalui mel ke rumah pelanggan. Katalog yang diedarkan itu mestilah menarik, dilengkapi dengan gambar, mengandungi keterangan tentang harga, cara pembayaran dan spesifikasi barang.
SOALAN LATIHAN
1. TERANGKAN PERANAN PERUNCIT DALAM SALURAN AGIHAN.
2. BAGAIMANA PENIAGA RUNCIT MENDAPATKAN BEKALANNYA?
3. TERANGKAN KELEBIHAN DAN KEKURANGAN JUALAN LANGSUNG.
4. JELASKAN PERBEZAAN KEDAI SEJARAS DENGAN KEDAI KHUSUS.
PERBINCANGAN
Pengusaha kerepek pisang di Meru menjual kerepek pisang kepada peniaga pasar malam, penjaja berkenderaan dan juga pegerai. Para peniaga ini membayar tunai danmembawa sendiri kerepek yang dibeli. Melalui cara ini, pengusaha berkenaan dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada kerja membuat kerepek. Sesuaikah pengeluar sendiri melakukan aktiviti pengagihan? Bincangkan.
No comments:
Post a Comment